.....
   
 


PENCURI!
...oleh Alia Farhana bt Mohamad Basri, 4 Pintar

Waktu sudah pukul 10.30 malam. Ketika itu aku sedang asyik melayari internet di komputer. Aku bersendirian pada malam itu kerana kedua ibu-bapaku dan adik telah ke rumah Mak Lang di Kampung Batu 26. Tiba-tiba aku terdengar suatu bunyi yang agak mencurigakan dari rumah sebelah. Akupun terus membuka tingkap perlahan-lahan dan mengintai rumah jiranku.

Alangkah terkejutnya aku apabila aku ternampak seorang pencuri sedang mencuba untuk memasuki rumah jiranku itu melalui tingkap. Dia cuba untuk mencuri dari rumah itu! Jiranku pula tidak ada di rumah kerana ke Kuala Lumpur untuk menziarah saudara mereka yang sakit.

Tanpa berlengah, aku terus menelefon polis. Malang sekali, panggilan yang aku buat tidak berhasil. Aku mencuba sekali lagi. Apabila polis mengangkat telefon, aku memberitahunya perkara yang sedang berlaku itu.

Sementara menunggu polis sampai, rupa-rupanya pencuri tadi telah berjaya memasuki rumahku pula. Dengan berhati-hati aku meletakkan permainan kereta api adik di atas tangga. Aku juga melumurkan sedikit minyak dii depan pintu dapur.

Apabila dia masuk ke dalam rumah, dia tergelincir kerana terpijak minyak tadi. Semasa dia mencuba untuk manaiki tangga, dia terpijak kereta api mainan adik ku lalu mengelunsur ke bawah dan terus pengsan. Sementara dia masih pengsan, aku memberanikan diri lalu mengikat tangan dan kakinya dengan tali.

Apabila polis sampai, barulah aku tahu bahawa dialah penjenayah yang paling dikehendaki oleh polis. Apabila ayah, emak, adik dan jiranku pulang, mereka menyatakan perasaan kagum mereka di atas kebijaksanaan dan keberanianku.

____________________________________
Pemenang Pertandingan Menulis Karangan, Tahun 4,
Minggu Bahasa Melayu 2005


Dari Tunas Bahasa Edisi Julai 2003

HADIAH TIDAK DIDUGA
...oleh Ahmad Aizat Baharudin, 5 Pintar

Arif baru selesai makan malam. Dia duduk di anjung rumah mengambil angin. Udaranya panas seakan hari hendak hujan. Sudah lama hujan tidak turun, fikir Arif.

Terlalu hangat malam ini. Baguslah kalau hujan turun. Kalau hujan, esok tidak payah Arif terkocoh-kocoh menyiram semua sayuran di belakang rumahnya. Biasanya Arif yang menyiram semua sayuran sebelum dia pergi ke sekolah.

Pokok mentimun dan petola sudahpun mengeluarkan buah. Seminggu dua lagi bolehlah dipetik. Alangkah seronoknya Arif melihat pokok cili dan terung juga sudah mula berbuah.

Sambil membuka baju, Arif mendongak ke langit. Langit nampak ceria dengan tompok-tompok awan kecil. Arif mengipas mukanya dengan bajunya. Arif menoleh ke arah rumah jirannya, rumah Pak Cik Zahari dan rumah Pak Cik Halim yang masih terang benderang.

Arif duduk di bawah pokok manggis. Dia tidak tahan panas dan badannya cepat berpeluh. Badan yang sihat tentunya akan berpeluh. Tetapi kalau peluh mencurah-curah turun tentu susah pula hendak belajar. Sayang, di rumahnya tidak ada kipas angin.

Arif bercadang hendak membeli kipas angin. Kalau ada kipas angin dapatlah dia belajar dengan selesa. Tidak lama lagi peperiksaan UPSR akan menjelang. Kawan-kawannya semua belajar dengan tekun dan mereka sudah berpakat hendak mencapai keputusan yang terbaik. Mereka mahu mengekalkan rekod kecemerlangan sekolah mereka.

Guru Besar selalu menasihati mereka supaya belajar dengan tekun. Bukan kerana hendak menaikkan nama sekolah, tetapi juga untuk diri sendiri. Kalau lulus dengan cemerlang sudah tentulah dapat pergi ke sekolah berasrama penuh.

"Ah, rumahku tidak ada kipas!" bisik Arif.

Selalunya Arif belajar di tepi tingkap. Dia membuka luas tingkap dan mengharapkan tiupan angin malam. Kalau berangin dapatlah dia belajar dengan selesa sedikit.

"Ayah dah janji nak beli kipas,"kata Arif pada emaknya petang semalam."Tapi tak beli juga. Peperiksaan dah nak dekat sangat ni mak," sambung Arif.

"Ayah kamu belum ada duit lagi agaknya. Kalau ada dia belilah," pujuk Mak Som.

Arif tahu yang ayahnya tidak pernah memungkiri janji. Mungkin benar dia belum ada wang. Arif tidak berkecil hati namun dia amat berharap ayahnya cepat dapat membelikannya kipas.

Arif sedar yang dia bukanlah anak orang berada seperti Helmi dan Danial. Tetapi bagi Arif, hendak dapatkan sebuah basikal pun susah, terpaksa memendam rasa bertahun-tahun. Ketika di Darjah Lima barulah Arif mendapat sebuah basikal, itupun kerana ayahnya mendapat bonus.

"Kita orang susah. Jangan ikut cara orang yang berduit," nasihat Pak Malim pada anaknya.

Sedang Arif mengelamun sendirian, tiba-tiba dia terdengar bunyi letupan yang amat kuat. Bunyi itu datang dari arah rumah Pak Cik Rahim. Arif tergamam seketika kerana ternampak api menjulang dari ruang dapur rumah itu.

"Rumah terbakar!" jerit Arif.

Arif terus berlari ke arah pondok telefon. Kebetulan pula dia bertembung dan Mak Cik Ibah, sepupu Pak Cik Rahim.

"Mak Cik, pinjam sepuluh sen, nak telefon bomba," kata Arif dengan nada cemas.

"Nak telefon bomba?" tanya Mak Cik Ibah.

"Ya, cepat! Rumah Pak Cik Rahim terbakar!" terang Arif.

"Eh, tak payah guna duit untuk menelefon bomba. Pergi cepat," arah Mak Cik Ibah.

Barulah Arif teringat yang dia tidak perlu menggunakan duit untuk membuat panggilan kecemasan di telefon awam. Sewaktu Arif meninggalkan pondok telefon, dilihatnya orang kampung sudah ramai yang datang menolong dan tidak lama selepas itu datang pula pasukan bomba. Dengan cepat sahaja ahli-ahli bomba telah dapat memadam api yang marak menyala tadi.

Keesokan harinya di sekolah, kawan-kawannya heboh bercerita tentang kebakaran itu. Arif diam sahaja mendengar cerita mereka.

Apabila pulang dari sekolah, Arif terkejut apabila melihat Mak Cik Ibah dan Pak Cik Rahim berada di pelantar di hadapan rumahnya. Ayah dan emaknya pun ada bersama.

"Baru balik, Arif?" tanya Mak Cik Ibah.

Arif mengangguk lalu bersalaman dengan Mak Cik Ibah dan Pak Cik Rahim.

"Pak Cik datang nak ucapkan terima kasih," kata Pak Cik Rahim.

"Pak Cik sudah tahu yang kamu yang tolong memanggil bomba semalam," sambungnya lagi.

"Kalau tidak kerana kamu, entah apa yang akan terjadi kepada rumah Pak Cik," katanya lagi.

"Saya kebetulan berada di luar rumah," kata Arif merendah diri.

Pak Cik Rahim tersenyum lebar sambil mengeluarkan sesuatu dari kocek bajunya.

"Nah, ini ada sedikit hadiah untuk kamu. Ianya sedikit sahaja dan tidak sama dengan bakti kamu," kata Pak Cik Rahim.

"Saya tidak mengharapkan apa-apa hadiah, Pak Cik. Saya menolong dengan ikhlas," ujar Arif.

"Ambillah Arif," pujuk Mak Cik Ibah.

Arif menerima hadiah pemberian Pak Cik Rahim. Alangkah terkejutnya dia apabila mendapati wang dua ratus ringgit di dalam sampul surat tersebut. Arif berasa amat gembira kerana mendapat hadiah yang tidak diduga itu.

"Dapatlah aku membeli kipas angin," bisik hati Arif.

 

[ Kembali ke atas ]


Dari Tunas Bahasa Edisi April 2003

APENDISITIS
...oleh Izyan Syazwani Mohamad Basri, 6 Arif

Pagi minggu itu aku bersama keluarga pergi ke Taman Tasik Taiping untuk berjoging. Memang itulah kebiasaan yang kami lakukan pada setiap pagi hari Ahad. Seronok sungguh rasanya dapat menghirup udara segar di situ.

Tetapi pada pagi itu aku berasa tidak selesa kerana perutku sakit. Aku diamkan sahaja dan tidak memberitahu abah dan mak. Takut pula mereka tidak mahu pergi ke Taman Tasik jika aku sakit.

Belumpun jauh kami berlari-lari, perutku terasa sakit sangat. Tidak sanggup rasanya untuk terus berlari.

Aku beritahu abah, “Abah, perut Yan sakit. Tak larat nak lari.”

“Itulah, tadi tak mau makan. Kan sekarang dah masuk angin perut tu?” marah abah.

Oleh kerana aku tidak mahu berlari lagi, kami semua berjalan sahaja. Ada kalanya aku berhenti dan duduk sambil memicit-micit perutku. Mukaku berkerut masam meminta simpati.

Ingatkan sakitku akan hilang bila pulang ke rumah rupanya keadaanku bertambah teruk. Aku mula muntah dan seluruh tubuhku terasa lemah sekali. Abah dan mak mulai risau. Macam-macam ubat yang mereka sapu ke perutku namun aku tetap sakit.

Malam itu, lebih kurang pukul dua belas tengah malam, akhirnya abah mengambil keputusan untuk membawaku ke hospital.

Apabila tiba di Hospital Taiping abah membawa kereta terus ke Bahagian Kecemasan.

Di situ, aku mengadu sakit perut pada petugas di situ. Tidak sabar rasanya menunggu giliran untuk berjumpa doktor, tetapi aku terpaksa bersabar.

Seorang makcik yang duduk di sebelahku bertanya, “Kenapa ni?” Belumpun sempat aku menjawab abah cepat-cepat berkata, “Dia ni sakit perut. Dari pagi tadi dah.”

Memang aku tidak bermaya untuk melayan perbualan makcik itu. Mujurlah abah ada dan bersembang dengan perempuan itu.

Tiba-tiba namaku dipanggil dan aku segera dipimpin masuk ke dalam sebuah bilik. Di situ, aku disuruh berbaring. Doktor menekan-nekan perutku dan terus menyatakan yang aku menghidap apendisitis dan perlu dimasukkan ke wad. Aku tidak faham maksud doktor itu, tetapi yang aku tahu ialah perutku teramat sakit.

Abah terkejut. Dia bertanya sesuatu kepada doktor dan aku terdengar doktor menyatakan yang aku perlu diperiksa dengan lebih lanjut di wad.

Tangan kiriku dicucuk jarum untuk memasukkan air dan aku terus dibawa dengan kerusi roda ke Wad B2. Setiba di wad, aku diperiksa oleh Dr Sarah.

Tidak berapa lama di wad itu, aku terlena kerana berasa sangat mengantuk. Bila terjaga, ku lihat emak ada di sisi. Tetapi aku tidak sempat berbual kerana aku terlena semula! Mungkin aku telah diberi ubat untuk tidur.

Keesokan harinya, aku disuruh memakai pakaian hospital yang berwarna putih. Emak memberitahu ku yang aku akan dibedah untuk mengeluarkan apendiks. Apendiks itulah yang menyebabkan perutku sakit.

Pada pukul 11.30 pagi aku disurung ke bilik bedah. Emak menemaniku tetapi sehingga pintu bilik bedah sahaja. Aku sendirian. Tetapi entah mengapa, aku sedikitpun tidak berasa takut. Di situ, seorang doktor menyuntik sesuatu dan tidak berapa lama selepas itu aku tidak sedarkan diri.

Aku tidak tahu berapa lama aku di bilik bedah, tetapi apabila aku membuka mata, ku lihat ada ramai orang sedang mengelilingi katil ku. Aku sudah kembali ke wad rupanya. Abah, emak, abang dan adik tersenyum melihat ku terjaga. Mak Lang, Kak Ina, Abang Jo dan isterinya, Kak Linda juga ada.

Mereka semua sibuk bertanyakan tentang perutku. Aku cuba untuk duduk tetapi belum boleh kerana badanku amat lemah. Waktu itu, hati kecilku amat terharu bercampur gembira kerana aku disayangi oleh keluargaku.

[ Kembali ke atas ]

 

 


Karangan Pilihan

 

© SEKOLAH KEBANGSAAN CHANGKAT JERING, PERAK DARUL RIDZUAN